Hari ni dah 2 hari bekerja di tahun baru. Kebanyakan sahabat masih bersenang-lenang bercuti, Azim pun baru balik rumah menghabiskan cuti ihsan dr bos Jepun. Best betul..
Pagi ni dimulakan dengan Perhimpunan Penyayang Hospital, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) datang menyampaikan amanat di awal tahun. Nampak gayanya, tahun ni dah kena speed gear 5 dari awal tahun. "Now, our bisness is not as usual anymore.." ayat tu diulang berkali-kali sejak dua menjak ni. Tambahan pulak dengan Program Transformasi yang PM duk war war kan tu.. Adeh, kadang-kadang bila hebat sangat programnya saya pun tak dapat nak faham semua.. Tapi bila dah masuk sektor awam ni, kena la ambik tau jugak. Nanti tak lulus Program Transformasi Minda (menggantikan kursus induksi) tak sah jawatan la jawapnye!
Perhimpunan sepatutnya berlangsung sejam, delay sampai hampir 2 1/2 jam.. Habis terbantut semua yang dah dirancang hari ni. Saya dah pening, sebab pengarah dah announce salah satu projek hospital tahun ni ialah program penurunan berat badan di kalangan staff (rasanya hospital lain dah berzaman dah buat). Tahun sebelum-sebelum ni dah dibuat, cuma pelaksanannya tak dibuat dengan sebaiknya. Jadi, program yang baik terkubur tanpa nisan.. Dengan kedatangan dietitian yang kerdil ni, mesyuarat secara rasmi dipengerusikan oleh Pengarah dah dibuat semalam dengan idea-idea yang agak bernas jugak daripada urusetia (yang dipaksa rela =P). Penat jugak di'push' untuk buat modul nak dimasukkan dalam paperwork, tambah lagi bulan Disember baru ni berkejar untuk audit akreditasi dan benda-benda pengurusan, latihan, staf, dll yang kena settle. Jadi idea spontan dalam meeting through phone membuahkan hasil..Alhamdulillah.
Hari ni, saya ada 1 kes refer di wad perubatan. Saya memang plan untuk tengok patient selepas zohor, memandangkan ada 3 orang staf belum saya jumpa berkaitan dengan pencapaian dan persembahan kerja mereka untuk tahun 2011. SKT mereka dah saya settlekan semuanya semalam, cuma SKT saya tak ada siapa nak tolong buatkan. Baru separuh jalan, nak buat di office teringat reten KPI & NIA, documentation yang asyik tertangguh, patient kat wad, audit GMP hujung bulan ni, macam-macam lagi. Jadi siapkan yang patut didahulukan, nak buat di rumah asyik terbabas aje selepas isyak. Walau apapun, Pengarah jangan risau sebelum 12hb ni saya akan pastikan SKT saya berada di atas meja Pengarah (Wah, azam pekerja cemerlang!)
Dalam masa yang sama, saya baru mendapat senarai nama untuk peserta kursus tersebut. Saya jadi pening, cadangan baru daripada Ketua Urusetia bercanggah pulak dengan keputusan meeting semalam. Saya mahu kata putus daripada Penaung, jadi Pengarah 'menjemput' saya untuk berbincang semula di biliknya.. Selepas mengambil kira keadaan kesihatan peserta, kualiti perkhidmatan yang akan terjejas kalau semua peserta dari unit yang sama, keinginan beberapa orang staf dan keakuran daripada Ketua-ketua unit barulah bilangan dan senarai akhir nama peserta dikeluarkan secara rasminya.. Pengarah mahu saya siapkan surat pelepasan beserta senarai nama pada hari ini jugak dah pastikan surat diedarkan kepada semua yang terlibat pada keesokan hari. Aduh, aduh pening kepala saya!
Senarai nama berdasarkan BMI telah saya dapat daripada Jawatankuasa Kesihatan & Keselamatan Pekerjaan (JKKP), cumanya saya perlu pilih berdasarkan semua kriteria yang telah dinyatakan tadi. Dengan bantuan Staff Nurse JKKP, beliau membantu saya menelefon semua ketua unit dan peserta terpilih menerangkan secara ringkas perjalanan program yang melibatkan sepanjang tahun. Sudah tentulah macam-macam ragam dan alasan yang menyebabkan kerja yang cepat menjadi lambat. Akhirnya surat dan senarai nama yang ditaip selamat siap pada pukul 3.45 petang. Fikiran saya cuma satu, 'surat ni Pengarah sign dan saya boleh pergi ke wad'. Owh, bukan senang seperti dikata, ada beberapa pembetulan harus dibuat terutamanya dari segi pemilihan peserta. Pengarah mahukan ada beberapa orang dimasukkan, cuma masalahnya mereka tidak hadir ke JKKP untuk saringan Routine Medical Check up. Jadi, data mereka tiada. Saya harus menelefon seorang demi seorang, malangnya hanya satu sahaja yang berbalas kerana mereka bekerja shift.
Setelah menelefon sana sini, akhirnya tugasan saya berakhir juga. Tapi satu lagi ujian kecil, printer saya pula kehabisan dakwat! Tertangguh juga nampak gayanya. Saya dengan berat hati mahu menumpang print di Klinik Respiratori memandangkan kedudukannya berhampiran dengan Pejabat Pengarah akan tetapi mereka juga mengalami masalah yang sama (dah pasti sebab banyak laporan yang perlu dihantar awal-awal tahun ni..). Akhirnya saya menumpang pula kasih di Unit Kualiti dan alhamdulillah..segala beban rasa terlepas serta-merta.
Jam menunjukkan 10 minit ke pukul 5. Kebiasaannya, sebilangan besar anggota dah bersiap-siap nak balik. Saya masih di pentadbiran, menunggu giliran mahu berjumpa Pengarah. Dah alang-alang saya yang buat, tugasan ini saya mahu beliau sign di hadapan saya =) Setelah bersoal jawab beberapa minit, beliau menurutkan tandatangan sambil berkata "Saya serahkan pada awak semuanya tentang peserta-peserta ni, bukan apa takut ada yang terasa hati bila tak 'dijemput' " Saya yang berasa hati Dr, sebab tugas utama saya tak dapat nak buat hari ni sebab benda ni (cuma di dalam hati aje la..).
Setelah selesai semua, ada lagi satu tugas penting perlu dibuat. Membuat nota kepada pembantu pejabat agar edaran berita ini dibuat segera. Berada di Unit Pentadbiran, saya teringatkan satu benda. Saya harus mendapatkan maklumat mengenai gaji terbaru bagi jawatan CO 27 & 32 untuk permohonan perjawatan dalam ABM. Allah, hari ini juga & segera memandangkan pembantu tadbir yang incharge akan bercuti semula mulai esok sampai minggu depan! Astaghfirullah. Lampiran C SBPA perlu saya kaji sedikit, untuk melihat formula baru yang ditetapkan oleh JPA. Allah itu sayang saya, hanya beberapa minit saya menjumpai apa yang saya mahukan (memandangkan tulisannya sangat halus dan kurang jelas). Saya keluar dari Unit Pentadbiran pada jam 5.15 petang dengan satu rasa yang amat lega, tapi jauh di sudut hati saya ada sedikit terkilan + bersalah kerana saya meminggirkan pesakit yang menunggu kehadiran saya. Serta-merta teringatkan bahan-bahan yang dah siap saya bawak nak berjumpa dengan pesakit. Kalau ikutkan hati, saya mahu jenguk sekejap wad walaupun masa bekerja telah tamat. Tapi bila mana memikirkan saya belum bersolat asar dan otak saya sangat-sangat penat, saya tangguhkan dulu. InsyaALLAH awal-awal pagi esok saya akan muncul di wad itu. Nantikan kedatangan saya, ya Mak Cik!
Kepada Dr, saya mohon maaf sebab selalu lewat & jarang muncul di wad kalau tiada new referral sejak awal bulan November lepas. Tugasan kita hampir sama dalam menguruskan pesakit, cuma kamu-kamu semua beruntung kerana tak perlu memecahkan kepala menguruskan staff, hal-hal kewangan dan pengurusan serta aktiviti hospital. Semua dah tersedia dibuat oleh pelaksana, hanya perlu kerjasama kamu sebagai penyelaras yang kadangkala atas dasar nama..
p/s: bila bebanan yang banyak dalam 1 bidang, fokus akan hilang. tapi bebanan yang banyak dalam pelbagai bidang akan membuatkan hidup tak terfokus!
0 comments:
Post a Comment