Alhamdulillah, saya berjaya merembat satu lagi buku semasa Karnival Mahabbah IKIM.fm di Terengganu pada bulan lepas. Baru seminggu ini buku ini berjaya dipegang sungguhpun terlalu lambat untuk menghabiskan satu muka surat. Sungguh, saya mahu memaksa diri untuk satu hobi yang semakin saya lupakan; membaca.
"Jika kesunyian tak mampu menghadirkan ketenangan, jika sujud dan ruku' kita tak lagi mendatangkan ketenteraman dan kesejukan jiwa, ada yang perlu kita tengok dalam diri kita. Kita perlu mengambil jarak dan melakukan hentian sejenak dari kesibukan-kesibukan yang terus memacu diri kita untuk berlari. Kita perlu mencari kejernihan di tengah hiruk-pikuk kehidupan mahupun mimpi-mimpi kita..
Jika bertambahnya rezeki tak menambah kebahagiaan, ketenangan dan kekhusyukan, ada yang perlu kita periksa sejenak. Atas sedekah dan ibadah kita, ada yang perlu kita cermati dengan jernih barangkali ada salah niat yang terselip. Atas berlimpahnya harta yang tak menambah keteduhan hati dan kesejukan jiwa, ada yang perlu kita renungi; tentang diri sendiri, tentang tetangga kita, tentang doa-doa kita serta pelbagai hal yang berkaitan hubungan kita dengan Allah Ta'ala mahupun sesama manusia.
Ambillah jarak, luangkan waktu dan lakukan hentian sejenak.. Semoga kita dapat menemukan ketenangan di tengah kesibukan" (Mohammad Fauzil Adhim)
Membelek-belek buku ini, dapat dirasakan penulisan yang lahir dari hati penulis. Bait-bait ayatnya memberikan kekuatan kepada diri yang kadang kala hampir terlupa untuk kembali kepada Pencipta dek kesibukan dunia. Ya Allah ampunkan diri ini.