Segmen Usrati oleh Ustazah Norhafizah Musa di IKIM sentiasa saya tunggu. Untungnya Jumaat merupakan hari cuti di sini, jadi boleh dengar untuk tempoh satu jam bermula pukul 10 pagi. Ulangannya hari Ahad, waktu yang sama. Jadi untuk negeri-negeri lain boleh dengar ulangsiarnya.
Minggu ni, tajuk yang Ustazah kongsi tentang Terapi Doa. Konsep terapi doa yang Ustazah kongsi ialah Tadhorru' (perasaan rendah diri kepada Allah). Ustazah nasihatkan supaya kita mesti kenal Allah dengan segala kesempurnaan & sifat. Tidak rasa keraguan kepada Allah bila Allah beri kita yang biasa-biasa. Kita mesti sentiasa yakin, Allah sentiasa beri buah tangan yang terbaik untuk kita.
Teringat saya dengan perkongsian Ustazah tentang ungkapan Imam Ahmad; "Tunduklah kamu di hadapan Allah semasa berdoa seperti kamu terumbang-ambing di tengah lautan". Pada saat ini, sudah semestinya pergantungan kita pada Allah di peringkat yang paling tinggi. Ustazah juga berpesan, kita harus berdoa di setiap masa bukan selepas solat sahaja. Berdoalah setiap waktu, di mana-mana sama ada dalam perjalanan, memandu, dan sebagainya. Doa merupakan jalan ketenangan dan kebahagiaan.
Allah suka orang yang sentiasa rendah diri, lemah-lembut semasa berdoa. Raungannya dalam hati, jeritannya pun dalam hati. Tidak perlu menjerit-jerit meminta doa, kerana Allah tahu & dengar apa yang kita minta.
Kita minta apa yang terbaik untuk diri, tapi Allah Maha Tahu apa yang lebik baik untuk kita. Sebab itu, bila doa tak dimakbulkan kita sering keluh-kesah. Jadi, kita perlu alaskan doa kita dengan redha kepada Allah supaya hati sentiasa tenang bila kita mohon tak dikabulkan.
Makbulnya doa dengan 4 keadaan:
1. Makbulnya doa seperti betul-betul yang diminta oleh hamba.
2. Allah tak makbulkan seperti yang diminta, tapi Allah jauhkan daripada bala.
3. Allah menangguhkan doa untuk hamba terima yang lebih baik.
4. Allah menggantikan dengan lebih baik, itu yang terbaik untuk hamba.
Ada beberapa soalan daripada pemanggil, berikut yang sempat saya catatkan:
1. Mengapakah doa terhijab?
- Sumber yang haram (makanan, pakaian, etc-mari kita semak kalau-kalau ada dalam diri)
- Anak yang derhaka kepada ibu bapa
- Syirik kepada Allah atau mendatangi orang-orang (makhluk) yang akhirnya membawa kepada syirik (contohnya bomoh)
2. Bagaimana mengatasi kemurungan / hati tak tenang bila ujian mendatang?
- Bertaubat dengan sebenar-benar taubat atas segala dosa yang kita tahu atau tidak tahu (walaupun dosa kecil)
- Proses menuntut ilmu berterusan - Libatkan diri dalam jemaah, bukan secara seorang. Bila berada dalam jemaah, hati lebih kuat.
- Wirid-wirid harian yang harus kita baca & faham. Letakkan keyakinan dengan ALlah Yang Maha Menyembuhkan (Allahu Ash Shafi).
3. Allah ambil anak dalam kandungan (seorang wanita yang tabah, kehilangan anaknya sebanyak 2 kali. Usia kandungan 7 bulan, tapi Allah ambil semula anaknya. MasyaAllah)
- Ustazah berpesan supaya amalkan Alhamdulillah 'ala fii kulli haalin wa fii kulli haalin (Segala puji bagi Allah atas segala keadaan, dan segala keadaan). Moga dengan doa ini hati sentiasa kuat untuk terus redha.
- Di akhirat nanti, bila Allah menunjukkan orang-orang yang diuji di dunia, orang-orang lain memohon Allah untuk dikembalikan di dunia, agar mereka juga sabar dengan ujian yang Allah bagi. Ini disebabkan mereka nampak bertapa besarnya nikmat yang Allah bagi di akhirat kepada orang-orang yang sabar & redha dengan ujian.
- Bila mana Allah beri ujian, Allah sahaja yang tahu sampai bila kita diberi ujian itu. Kita mesti menggantikan sifat sabar kepada syukur, bila kita ingat anak ini menjadi aset kita di syurga, anak akan meminta izin Allah untuk bersama-sama ibunya masuk ke syurga.
4. Berdoa untuk orang lain tanpa diketahui oleh orang itu
- Memang hadith Rasulullah ada menyebutnya. Kita doakan pada siapa-siapa. Akan tetapi, sebagai ibu bapa tidak salah untuk memberitahu anak tentang apa yang kita harapkan dalam doa. Contohnya semasa solat jemaah bersama-sama anak sebagai pendidikan. Secara tidak langsung anak-anak tahu bentuk anak yang diharapkan oleh ibu bapa. Satu pengharapan kepada anak-anak.
5. Jauhkan doa dengan hati yang lalai - sering berlaku
Kita lupa doa suatu ibadah, menuntut sifat-sifat yang baik-baik kepada Allah. Kadang-kadang doa Qunut dalam solat Subuh pun kita tak menghayati, sedangkan itu doa pertama di pagi hari kepada kita. (Mari kita khusyu'kan hati untuk tadabbur erti doa Qunut)
Pengakhirannya, Ustazah menekankan bahawa Allah sentiasa mengharapkan hamba-Nya mengadu kepadanya seperti dalam Al-Quran: "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan". Allah memiliki 7 lautan daripada air lautan yang Dia ciptakan, cuma Dia hendakkan setitis air mata daripada hamba-Nya.
-Usah kita jemu berdoa-
0 comments:
Post a Comment